Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Sunday, November 27, 2011

Salam Maal Hijrah 1433H


Salam Maal Hijrah buat semua pengunjung... disini tun ingin share kan article dr blog ustaz feveret tun.. Ust Halim dr Ini Jalanku.. semoga bermanfaat..





Kedatangan Awal Muharram pada tahun ini sekali lagi mengingatkan kita tentang peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah saw, sejarah Islam bahkan sejarah kemanusiaan seluruhnya. Peristiwa tersebut adalah perpindahan atau Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan para Sahabat dari golongan Muhajirin dari kampung halaman asal mereka di Mekah, ke bandar 450 km di utara iaitu Madinah. Besar dan pentingnya peristiwa ini ditunjukkan dengan penurunan kira-kira 18 ayat didalam Al-Quran mengenainya, disebut dalam Al-Hadis, dipilih oleh Khalifah Umar Al-Khattab ra. sebagai tahun permulaan kalender Islam dari zamannya sehingga kehari ini.

Sejak diutusan menjadi Rasul dizaman Mekah sebelum Hijrah lagi, Allah swt telah mengisyaratkan bahawa risalah yang Nabi saw bawa adalah tidak terhad kepada kaum di Mekah sahaja sepertimana risalah para Rasul terdahulu untuk kaum mereka sahaja, bahkan Allah berfirman bermaksud, “Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam”. Dalam ayat yang lain “… kepada seluruh manusia sebagai pemberi berita gembira dan ancaman” (Al-Quran). Oleh itu dakwah Islam yang dibawa oleh Baginda saw, para Sahabat ra dan kita sendiri pada hari ini adalah untuk kita hayati didalam kehidupan seharian kita dan untuk kita sampaikan kepada manusia yang lain didalam negara kita Malaysia dan kepada seluruh penduduk didunia ini. Apabila tekanan sampai kekemuncaknya, setelah kematian Abu Talib dan Khadijah ra, 3 tahun sebelum Hijrah dan dakwah Islam menjadi beku di Mekah, agenda rahmat seluruh alam tidak mungkin dapat dicapai melainkan Rasulullah saw mesti mencari tapak ditempat lain sebagai talian hayat untuk memastikan Islam terus berkembang. Cubaan Baginda saw memilih Taif ternyata tidak berhasil, kerana masyarakatnya ternyata menolak mentah-mentah apa yang ingin disampaikan sehingga Nabi saw berdarah, bermunajat kepada Allah, mengadu lemahnya upaya hamba sampil mengharap pertolongan Yang Maha Berkuasa. Surah Hud turun menenangkan jiwanya, menceritakan kisah dan nasib Rasul-rasul terdahulu yang tidak jauh berbeza dan diakhiri dengan arahan agar terus istiqamah menjayakan agenda yang telah digariskan. 

Pada Musim Haji berikutnya, Nabi saw mengemukakan dakwahnya kepada kabilah-kabilah yang datang dari berbagai negeri yang berakhir dengan 6 orang dari Madinah memeluk Islam, kembali ke negeri mereka dan berdakwah. Dua tahun selepas itu, Perjanjian Aqabah II dimeteri dan memberi laluan kaum muslimin berhijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah dari keadaan lemah kepada kekuatan, dari kehinaan kepada keagungan, dari fasa dakwah kepada fasa daulah, dari fasa membina hati dan jiwa kepada fasa membina sistem dan negara. 15 tahun selepas itu, setelah Islam menundukkan Empayar Rum dan Parsi, dizaman Khalifah Umar Al-Khattab, bandar Hijrah, Madinah menjadi ibukota kepada Khilafah, kerajaan didunia yang terkuat dan pusat Tamaddun Islam yang berterusan lebih 1300 tahun.

Dari sinopsis ringkas diatas, jelas kepada kita bahawa agenda yang ditunjukkan oleh perjuangan Rasulullah saw yang diilhamlah oleh Allah swt merupakan satu agenda besar meliputi dari isi hati dan jiwa manusia kepada mentadbir dan membimbing mukabumi ini dengan Syariat Islam. Ini lah juga agenda setiap Muslim termasuk kita. Dalam menjayakan agenda ini, Islam menuntut kita melakukan Hijrah atau perpindahan dari sekadar mempunyai agenda bumi tersendiri yang tidak jauh berbeza dengan manusia yang lain, kepada memiliki agenda rabbani ilahi yang datang dari langit, mengajar kepada perubahan dan peningkatan diri, keluarga dan masyarakat, berhijrah dari sekadar memahami Islam hanya terhad kepada ibadat-ibadat khusus seerti solat, puasa, zakat dan haji, kepada memahami dan menghayati Islam sebagai yang sedemikian seterusnya meliputi hal ehwal kenegaraan dan kesejahteraan penduduk dunia sejagat. Dizaman kita ini dimana musuh-musuh Allah swt dari kalangan Zionis, kuasa-kuasa Barat dan Timur menguasai hampir setiap inci bumi, kekuaan politik, ketenteraan, ekonomi dan media, umat Islam lebih-lebih lagi berhajat kepada memahami dan menginsafi apakah agenda hidup mereka yang sebenar dan apakah yang mesti mereka lakukan untuk menjayakannya.


 
Ketahuilah bahawa Islam kita adalah “akidah dan ibadah, akhlak dan material, toleransi dan kekuatan, pengetahuan dan undang-undang …”, … “agama dan negara, kerajaan dan umat, Kitab dan pedang, khilafah dari Allah untuk orang-orang Islam dikalangan sekelian umat-umat didunia ini” (Hasan Al-Banna).

 Alangkah besar dan jauhnya agenda sebenar seorang muslim itu. Adakah masyarakat kita memahami dan bekerja menjayakan agenda mereka ini yang didatangkan dari langit oleh Tuhan yang mencipta mereka. Atau mereka terus leka dengan hambatan dan godaan dibumi yang tidak kunjung habis merantai hati dan jiwa mereka sedang mereka tidak menyedarinya. Agenda sebesar dan semulia itu tidak mungkin dipikul oleh umat yang lemah, berpecah, diperkuda oleh seteru mereka, bergelumang dengan kefasikan dan diperbodoh oleh orang lain.
Oleh itu sempena sambutan Awal Muharram atau Maal Hijrah ini marilah kita sama-sama menghayati peristiwa yang besar ini, melakukan hijrah dan transformasi diri, keluarga dan masyarakat, berusaha menjadikan agenda Islam itu sendiri sebagai agenda hidup bagi diri dan masyarakat kita ini.

“Umat yang sedang bangkit sangat berhajat kepada akhlak, lebih berhajat dari sebelumnya, iaitu akhlak yang mulia lagi kuat dan mantap, serta jiwa yang besar lagi tinggi dan bersemangat. Ini adalah kerana ia akan berdepan dengan tuntutan-tuntutan zaman baru yang tidak mampu dicapai melainkan dengan akhlak yang kuat lagi jujur, dari iman yang mendalam, keteguhan yang besar, pengorbanan yang banyak dan tinggi keupayaan menanggung kepayahan. Hanya Islam sahaja satu-satunya yang boleh menjadikan jiwa yang sempurna ini. Islam juga menjadikan kebaikan dan kesucian jiwa sebagai asas kepada kejayaan. Allah swt berfirman, “Sungguh telah berjaya orang yang membersihkannya (jiwa) dan sungguh telah binasa orang yang mengotorinya” (Asy-Syams : 9 – 10). Islam telah menjadikan usaha merubah hal ehwal umat selari dengan perubahan akhlak dan kebaikan jiwa mereka. Allah swt berfirman bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak merubah apa yang ada pada satu kaum, sehinggalah mereka merubah apa yang ada pada jiwa mereka” (Ar-Ra’ad : 11).


Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Ketua Biro Dakwah,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

Saturday, July 30, 2011

Ahlan wa Sahlan ya Ramadhan..

sumber wallpaper: isma new zealand

Assalamualaikum wbt =)


few days menggantung periuk. alhamdulillah, duduk di kampung mmg sgt best! pergi ke kebun, mandi sungai, n mkn durian dgn byknyer.. sekali sekala blk kg, mmg laa xkan masuk dapur.. masuk dapur utk makan je, sbb mama masak lg best.. hihi =)

hmm.. esok hari last dlm bulan Syaaban insyaAllah.. me doakan semoga tarbiyah Ramadhan kali ini dihayati dgn lebih baik insyaAllah.. selamat menunaikan ibadah puasa, dan selamat berlumba2 mengerjakan kebaikan.. me mengambil kesempatan ini utk share satu artikle dr blog favourite me, article ni bertarikh 2thn lepas, tp ilmu yg baik x lekang di zaman kan ;)

Selamat Datang Ramadhan
sumber: Ust Halim @ inijalanku

Ramadan kini tiba. Hati mukmin tidak sabar lagi untuk mengambil peluang semaksima mungkin dibulan yang berkat ini demi mendapatkan bekalan iman dan meningkatkan diri. Dihujung Syaaban, Rasulullah saw berkhutbah mengingatkan para Sahabat ra tentang Ramadan. Di sini saya mengambil kesempatan mengingatkan diri saya dan kita sekelian berkenaan Ramadan dan persiapan untuk memasukkinya.

Kita memasuki bulan berkat dimana pahala dilipatkali gandakan bagi mereka yang mengharap ganjaran dan keredhaan Allah swt. Dengan ini hamba-hambaNya semakin bertaqarrub kepadaNya dan lebih berpeluang memasuki Syurga yang disediakan Allah swt. Dari Qutaibah, dari Ismail bin Jaafar dari Abi Suhail, dari ayahnya dari Abu Hurairah ra. sabda Rasulullah saw bermaksud, “Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu-pintu Syurga(hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Dengan berpuasa, kita menahan diri dari makan, minum, hubungan suami isteri, menjaga lidah, pemandangan dan hati hanya semata-mata kerana Allah. Oleh itu Allah sendiri yang akan membalasnya. Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Sesiapa yang mendirikan (solat dan ibadah) di malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” (hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Didalam Ramadan, kita melipatgandakan ibadah solat kita, dan lebih membiasakan diri kita mendampingi surau, masjid dan para jemaah didalamnya yang beriman. Sabda Rasulullah saw berkenaan Ramadan bermaksud, ‘Sesiapa yang mendirikan (solat Tarawih) di bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan untuknya akan kesalahan yang telah dikerjakannya” (hadis sahih riwayat Al-Bukhari).


google image

Ramadan mengajar kita erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam. Dari Ibnu Syahab, dari Urwah bin Az-Zubair, dari Abdul Rahman bin Abdul Al-Qari’ berkata: Aku keluar bersama Umar Al-Khattab ra pada suatu malam Ramadan ke masjid dan mendapati orang ramai bersolat sendiri-sendiri dan berselerakan. Ada yang bersolat sendirian. Ada yang bersolat diikuti beberapa orang. Umar ra berkata bermaksud, “Aku lihat jika dikumpulkan mereka dibawah seorang imam, itu adalah lebih baik”. Kemudian beliau melaksanakannya dan mengumpulkan orang ramai (bersolat) diimami oleh Ubay bin Kaab ra. Pada suatu malam yang berikutnya, aku pergi bersamanya ke masjid dan melihat orang ramai bersolat di belakang seorang imam mereka. Umar ra berkata, “Alangkah baiknya bid’ah ini“… (hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Mukmin dan mukminah sentiasa mengejar peluang yang disediakan Allah swt untuk hamba-hambaNya. Ini termasuklah ganjaran berlipatkali ganda Malam Lailatul Qadar dimana ia lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun). Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan” (hadis sahih riwayat Al-Bukhari). Dalam riwayat Al-Bukhari yang lain bermaksud, “Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil di Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan”.

Ramadan adalah bulan Iktikaf, iaitu berada di masjid untuk memberi tumpuan sepenuhnya beribadah khusus kepada Allah swt. Iktikaf membersihkan hati dan akhlak kita, kerana kita berdamping dengan rumah Allah swt dan dapat tenang memuhasabah dan menilai diri kita yang sering alpa dan tergoda. Dari Urwah bin Az-Zubair ra dari Aisyah ra berkata bermaksud, “Sesungguhnya Nabi saw beriktikaf pada Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan sehingga Baginda saw diwafatkan Allah. Selepas kewafatannya, isteri-isterinya pula beriktikaf” (hadis sahih riwayat Al-Bukhari).


sumber: ismadhl

Ramadan adalah bulan Jihad dan Kemenangan. Di dalam bulan ini orang-orang beriman mencapai kemuncak ikhlas dan taqwa, kedua-duanya adalah resepi kemenangan dalam Jihad. Di dalam Ramadan orang-orang beriman memenangi Perang Badar (Tahun 2H), Perang Pembukaan Mekah (Tahun 8H) dan Perang Ain Jalut mengalahkan tentara Monggul.

Semoga Ramadan pada tahun ini merupakan Ramadan yang terbaik buat kita, berjaya kita lalui sepenuhnya dan mendapat rahmah (belas kasih Allah swt), maghfirah (keampunanNya) dan itqum minannar (selamat dari api Neraka). Ya Allah terimalah puasa, solat Tarawih, qiyamullail dan iktikaf kami dibulan yang mulia ini. Ya Allah, terimalah ibadah dan taqarrub (usaha mendekatkan hati dan diri) kami kepadaMu.

Ya Allah, jadikanlah kami diakhir Ramadan dikalangan hamba-hambaMu yang bertaqwa seperti firmanMu bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa…” (surah Al-Baqarah). Ameen.

Ustaz Halim


~~ Apabila tiba Ramadhan, akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan akan dirantai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) ~~

Tuesday, June 28, 2011

Israk Mikraj 2011

Assalamualaikum ^^

bukan n3 menu ye.. saje nk share artikel yang baru di baca, karangan Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin =)

Apa istimewanya 27hb Rajab ini?


Detik ini adalah saat yang sangat bermakna apabila umat Islam di seluruh dunia akan menyambut peristiwa Israk Mikraj. Ianya merupakan satu peristiwa yang cukup besar dalam diari dan sejarah umat Islam yang disambut pada 27 Rejab di setiap tahun. (Pada tahun ini, ianya bertepatan dengan 28 Jun 2011, Selasa malam Rabu).

Firman Allah SWT bermaksud: “Maha Suci Allah SWT yang sudah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah SWT jugalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk ayat 1).

Apakah yang dikatakan Israk Mikraj itu?

  1. Israk: Perjalanan malam Rasulullah saw daripada Masjid al-Haram di Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin.
  2. Mikraj: Perjalanan naiknya Rasulullah saw dari Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis menembusi langit ke sempadan yang paling tinggi iaitu Sidratul Muntaha.

Apakah peristiwa penting yang berlaku sebelum Israk Mikraj ini?

1- Peristiwa Israk Mikraj berlaku selepas Rasulullah saw diuji dengan kematian dua orang yang sangat dikasihi yang telah banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.

2- Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua-dua insan yang disayangi semakin bertambah apabila berlakunya penolakan dakwah oleh penduduk Taif.

Nabi telah ‘dihiburkan’ oleh Allah swt dengan Israk dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga Berjaya membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah.

Kenapa Israk Mikraj dikatakan sebagai ujian keimanan?

Peristiwa Israk Mikraj ini telah menyaring keimanan serta keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah s.w.t dan kebenaran risalah Rasulullah s.a.w.

Orang kafir pada ketika itu telah menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu peluang terbaik untuk melakukan operasi pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah Nabi.

Umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat

1- Ada yang terus membenarkan Rasulullah seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq

2- Ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji Nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut

3- Ada pula yang bersikap menolak terus cerita Nabi dan kembali murtad daripada Islam.


Ini berlaku semata-mata kerana peristiwa ini sangat menongkah arus akal manusia. Inilah juga gambaran yang akan berlaku apabila umat yang keliru akan meletakkan akal sebagai sumber rujukan hidup yang mengatasi sumber al-Quran dan Sunnah.

Apakah pengajaran pertemuan Rasulullah bersama para Anbiya di langit sebelum menjadi Imam kepada semua mereka di Masjid al-Aqsa?


(Di sinilah tempat yang bersejarah apabila Rasulullah telah dipilih untuk menjadi Imam kepada semua para nabi yang terdahulu)

Perjalanan itu adalah perjalanan yang menghubungkan akidah tauhid yang besar sejak Nabi Adam, Ibrahim, Nabi Ismail, Musa, Isa dan lain-lain sehingga kepada Rasulullah saw yang merupakan penghulu dan penyempurna kepada risalah kenabian.

Dr Yusuf a-Qardawi juga telah menyatakan bahawa peristiwa ini merupakan detik pengisytiharan umum tentang perubahan kepimpinan dunia daripada para anbiya sebelumnya kepada Rasulullah saw.

Peristiwa ini telah menolak hujah sebahagian manusia yang mengatakan bahawa Isa a.s adalah pengasas agama kristian dan juga di kalangan orang Yahudi yang mendakwa bahawa Musa adalah nabi yang paling mulia.


Kenapa mesti dibawa ke Masjid al-Aqsa, di Baitul Maqdis dahulu dan tidak terus dari Masjid al-Haram ke Sidratul Muntaha?



Perjalanan ini menunjukkan bahawa Baitul Maqdis sangat penting kedudukannya dalam agama Islam.

1- Masjid al-Aqsa adalah merupakan kiblat pertama bagi umat Islam sebelum ianya dipindahkan ke Masjid al-Haram di Mekah.

2- Masjid al-Aqsa adalah masjid yang ke 2 dibangunkan di mukabumi

3- Masjid al Aqsa adalah masjid yang ke 3 suci di dalam aqidah umat Islam

4- Al-Quran menyebut Masjid al-Aqsa dengan sifatnya yang bermaksud: “Yang Sudah Kami Berkati Sekelilingnya” yang menggambarkan keberkatan yang mengelilingi dan melimpah ke atas masjid itu.


(Masjid Qiblatain di Madinah ialah saksi hidup terhadap pristiwa perpindahan kiblat)

Masjid al-Aqsa juga adalah tempat para anbiya dilahirkan, berdakwah dan dikuburkan sehingga Imam Syafi’e (yang dilahirkan di Gaza) pernah berkata pada suatu ketika dahulu, “Saya sangat suka beriktikaf di Masjid al-Aqsa ini lebih daripada mana-mana sekalipun.” Ketika ditanyakan alasannya, beliau menjawab, “Di sinilah tempat berkumpul dan dikuburkannya para Nabi.”



ps: bersempena dgn Israk Mikraj ini, marilah sama2 menghidupkan malam dlm qiamullail ^^
pps: artikel penuh boleh dibaca di laman web ISMA dan Blog Dr.Z ye =)