Salam Maal Hijrah buat semua pengunjung... disini tun ingin share kan article dr blog ustaz feveret tun.. Ust Halim dr Ini Jalanku.. semoga bermanfaat..
Kedatangan Awal Muharram pada tahun ini sekali lagi mengingatkan kita tentang peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah saw, sejarah Islam bahkan sejarah kemanusiaan seluruhnya. Peristiwa tersebut adalah perpindahan atau Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan para Sahabat dari golongan Muhajirin dari kampung halaman asal mereka di Mekah, ke bandar 450 km di utara iaitu Madinah. Besar dan pentingnya peristiwa ini ditunjukkan dengan penurunan kira-kira 18 ayat didalam Al-Quran mengenainya, disebut dalam Al-Hadis, dipilih oleh Khalifah Umar Al-Khattab ra. sebagai tahun permulaan kalender Islam dari zamannya sehingga kehari ini.
Sejak diutusan menjadi Rasul dizaman Mekah sebelum Hijrah lagi, Allah swt telah mengisyaratkan bahawa risalah yang Nabi saw bawa adalah tidak terhad kepada kaum di Mekah sahaja sepertimana risalah para Rasul terdahulu untuk kaum mereka sahaja, bahkan Allah berfirman bermaksud, “Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam”. Dalam ayat yang lain “… kepada seluruh manusia sebagai pemberi berita gembira dan ancaman” (Al-Quran). Oleh itu dakwah Islam yang dibawa oleh Baginda saw, para Sahabat ra dan kita sendiri pada hari ini adalah untuk kita hayati didalam kehidupan seharian kita dan untuk kita sampaikan kepada manusia yang lain didalam negara kita Malaysia dan kepada seluruh penduduk didunia ini. Apabila tekanan sampai kekemuncaknya, setelah kematian Abu Talib dan Khadijah ra, 3 tahun sebelum Hijrah dan dakwah Islam menjadi beku di Mekah, agenda rahmat seluruh alam tidak mungkin dapat dicapai melainkan Rasulullah saw mesti mencari tapak ditempat lain sebagai talian hayat untuk memastikan Islam terus berkembang. Cubaan Baginda saw memilih Taif ternyata tidak berhasil, kerana masyarakatnya ternyata menolak mentah-mentah apa yang ingin disampaikan sehingga Nabi saw berdarah, bermunajat kepada Allah, mengadu lemahnya upaya hamba sampil mengharap pertolongan Yang Maha Berkuasa. Surah Hud turun menenangkan jiwanya, menceritakan kisah dan nasib Rasul-rasul terdahulu yang tidak jauh berbeza dan diakhiri dengan arahan agar terus istiqamah menjayakan agenda yang telah digariskan.
Pada Musim Haji berikutnya, Nabi saw mengemukakan dakwahnya kepada kabilah-kabilah yang datang dari berbagai negeri yang berakhir dengan 6 orang dari Madinah memeluk Islam, kembali ke negeri mereka dan berdakwah. Dua tahun selepas itu, Perjanjian Aqabah II dimeteri dan memberi laluan kaum muslimin berhijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah dari keadaan lemah kepada kekuatan, dari kehinaan kepada keagungan, dari fasa dakwah kepada fasa daulah, dari fasa membina hati dan jiwa kepada fasa membina sistem dan negara. 15 tahun selepas itu, setelah Islam menundukkan Empayar Rum dan Parsi, dizaman Khalifah Umar Al-Khattab, bandar Hijrah, Madinah menjadi ibukota kepada Khilafah, kerajaan didunia yang terkuat dan pusat Tamaddun Islam yang berterusan lebih 1300 tahun.
Dari sinopsis ringkas diatas, jelas kepada kita bahawa agenda yang ditunjukkan oleh perjuangan Rasulullah saw yang diilhamlah oleh Allah swt merupakan satu agenda besar meliputi dari isi hati dan jiwa manusia kepada mentadbir dan membimbing mukabumi ini dengan Syariat Islam. Ini lah juga agenda setiap Muslim termasuk kita. Dalam menjayakan agenda ini, Islam menuntut kita melakukan Hijrah atau perpindahan dari sekadar mempunyai agenda bumi tersendiri yang tidak jauh berbeza dengan manusia yang lain, kepada memiliki agenda rabbani ilahi yang datang dari langit, mengajar kepada perubahan dan peningkatan diri, keluarga dan masyarakat, berhijrah dari sekadar memahami Islam hanya terhad kepada ibadat-ibadat khusus seerti solat, puasa, zakat dan haji, kepada memahami dan menghayati Islam sebagai yang sedemikian seterusnya meliputi hal ehwal kenegaraan dan kesejahteraan penduduk dunia sejagat. Dizaman kita ini dimana musuh-musuh Allah swt dari kalangan Zionis, kuasa-kuasa Barat dan Timur menguasai hampir setiap inci bumi, kekuaan politik, ketenteraan, ekonomi dan media, umat Islam lebih-lebih lagi berhajat kepada memahami dan menginsafi apakah agenda hidup mereka yang sebenar dan apakah yang mesti mereka lakukan untuk menjayakannya.
Ketahuilah bahawa Islam kita adalah “akidah dan ibadah, akhlak dan material, toleransi dan kekuatan, pengetahuan dan undang-undang …”, … “agama dan negara, kerajaan dan umat, Kitab dan pedang, khilafah dari Allah untuk orang-orang Islam dikalangan sekelian umat-umat didunia ini” (Hasan Al-Banna).
Alangkah besar dan jauhnya agenda sebenar seorang muslim itu. Adakah masyarakat kita memahami dan bekerja menjayakan agenda mereka ini yang didatangkan dari langit oleh Tuhan yang mencipta mereka. Atau mereka terus leka dengan hambatan dan godaan dibumi yang tidak kunjung habis merantai hati dan jiwa mereka sedang mereka tidak menyedarinya. Agenda sebesar dan semulia itu tidak mungkin dipikul oleh umat yang lemah, berpecah, diperkuda oleh seteru mereka, bergelumang dengan kefasikan dan diperbodoh oleh orang lain.
Oleh itu sempena sambutan Awal Muharram atau Maal Hijrah ini marilah kita sama-sama menghayati peristiwa yang besar ini, melakukan hijrah dan transformasi diri, keluarga dan masyarakat, berusaha menjadikan agenda Islam itu sendiri sebagai agenda hidup bagi diri dan masyarakat kita ini.
“Umat yang sedang bangkit sangat berhajat kepada akhlak, lebih berhajat dari sebelumnya, iaitu akhlak yang mulia lagi kuat dan mantap, serta jiwa yang besar lagi tinggi dan bersemangat. Ini adalah kerana ia akan berdepan dengan tuntutan-tuntutan zaman baru yang tidak mampu dicapai melainkan dengan akhlak yang kuat lagi jujur, dari iman yang mendalam, keteguhan yang besar, pengorbanan yang banyak dan tinggi keupayaan menanggung kepayahan. Hanya Islam sahaja satu-satunya yang boleh menjadikan jiwa yang sempurna ini. Islam juga menjadikan kebaikan dan kesucian jiwa sebagai asas kepada kejayaan. Allah swt berfirman, “Sungguh telah berjaya orang yang membersihkannya (jiwa) dan sungguh telah binasa orang yang mengotorinya” (Asy-Syams : 9 – 10). Islam telah menjadikan usaha merubah hal ehwal umat selari dengan perubahan akhlak dan kebaikan jiwa mereka. Allah swt berfirman bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak merubah apa yang ada pada satu kaum, sehinggalah mereka merubah apa yang ada pada jiwa mereka” (Ar-Ra’ad : 11).
5 comments:
Salam Maal Hijrah untuk Tun dan hubby.
salam maal hijrah utk tun skrga..
tun salam maal hijrah gak buat tun....cepat2 la buat inti leh makan pau...hehhehe
Salam maal hijrah buat tun n famili
salam maal hijrah buat tun sklrg...
kak ke klinik, ambil ubat en zalie, CR tak beroperasi...
dari pergi dan kembali.. di radio berkumandang nasyid hijrah...
mmg terasa tahun baru...
dik, maaf andai sepanjang kita berkenalan, ada kiranya kak terkasar bahasa penulisan..
Post a Comment